Pengenalan



PERAYAAN DI MALAYSIA DAN KEPENTINGANNYA

     Perayaan adalah suatu aktiviti yang disambut oleh sesebuah masyarakat ataupun kaum. Kebiasaannya sesuatu perayaan disambut oleh sesebuah masyarakat ataupun kaum adalah bertujuan untuk memperingati peristiwa penting yang pernah berlaku pada sesuatu masa dahulu. Ia juga disambut untuk mengeratkan hubungan antara satu sama lain. Sambutan hari perayaan di negara ini meliputi perayaan Hari Raya Puasa buat orang islam, Tahun Baru Cina buat orang Cina dan perayaan Deepavali buat orang India. Ketika perayaan ini disambut suasananya pasti dengan kegembiraan dan sedikit hidangan makanan. Semua rakyat negara ini menanti-nanti setiap perayaan dengan penuh debaran dan semangat tinggi. Sambutan perayaan di Malaysia dapat melahirkan perpaduan antara semua kaum. Oleh itu, memang ada banyak kebaikan jika sambutan perayaan dilaksanakan di negara ini.

     Perayaan Hari Raya Aidilfitri merupakan perayaan masyarakat Melayu dan penganut agama Islam. Sambutan Hari Raya Aidilfitri bermula dengan ibadat puasa di bulan Ramadan. Sepanjang bulan Ramadan umat islam berpuasa pada siang hari dan mengerjakan sembahyang terawih pada sebelah malamnya. Zakat fitrah wajib dikeluarkan sebelum 1 syawal di mana Hari Raya Aidilfitri dirayakan. Hari Raya disambut dengan penuh kesyukuran. Penduduk Islam di Malaysia memulakan hari ini dengan menziarahi kubur diikuti sembahyang sunat hari Raya dan bermaaf-maafan serta kunjung mengunjungi untuk mengeratkan silaturahim. Rumah terbuka akan diadakan bagi mempersilakan tetamu datang berkunjung dan disajikan dengan pelbagai hidangan tradisional yang lazat seperti lemang,ketupat,kuih bahulu dan sebagainya.





     Perayaan Tahun Baru Cina ini disambut secara besar-besaran oleh masyarakat Cina di Malaysia yang menandakan kedatangan tahun baru menurut kalendar mereka. Orang Cina percaya ada 12 binatang yang menaungi kalendar meraka iaitu tikus, lembu, harimau, arnab,naga, ular, kuda, kambing, monyet, ayam jantan, dan babi. Setiap binatng ini memberi signifikan dan tuahnya tersendiri. Pada malam Tahun Baru semua ahli keluarga berkumpul beramai-ramai untuk makan bersama. Tujuannya adalah untuk mengeratkan jalinan hubungan sesama kelurga. Ahli keluarga yang telah berumahtangga akan memberi ‘Angpau’ kepada saudara mara dan sahabat yang belum berumahtangga. ‘Angpau’ membawa pengertian kesejahteraan yang berpanjangan, ianya sejenis sampul berwarna merah dan diisi dengan sejumlah wang. Buah limau mandarin dan kuih bakul merupakan kemestian yang perlu ada semasa merayakan Tahun Baru Cina. Sepanjang Tahun Baru Cina berlangsung, tarian singa dimainkan dari rumah ke rumah dan kedai-kedai untuk memberi berkat kepada mereka yang meraikan perayaan tersebut. Penutup kepada perayaan Tahin Baru Cina ialah Chap Goh Meh.




     Perayaan Deepavali pula disambut oleh masyarakat Hindu. Ianya dirayakan pada bulan gelap bernama ‘Aippasi’ pada bulan Oktober atau November. Deepavali bermaksud ‘sebarisan pelita’. Dengan memasang pelita, meraka percaya bahawa kecerahan mengatasi kegelapan, kebaikan mengatasi kejahilan. Di pagi hari, masyarakat Hindu akan menyucikan tubuh badan dengan memakai sedikit minyak di kepala dan mandi. Kemudian mereka bersembahyang di rumah atau di kuil. Selepas bersembahyang, mereka berkunjung ke rumah kaum keluarga. Kebiasannya, surirumah akan menyediakan kotak-kotak kecil berisi manisan dan membawa bersama apabila berkunjung ke rumah saudara-mara mereka. Di kebanyakan rumah, ‘Rangoli’ iaitu kolam yang dibuat daripada tepung beras berwarna-warni akan menyambut tetamu di hadapan rumah.


     Perayaan Krismas pula akan dirayakan oleh penganut Kristian pada 25 hb Disember sebagai mengingati kelahiran Jesus Christ. Sambutan Krismas dimeriahkan dengan hiasan pohon krismas yang dipasang dengan lampu berwarna warni. Bungkusan-bungkusan hadiah akan diletakkan di bawah pokok untuk dibuka pada hari tersebut. Christmas Carol dinyanyikan di rumah-rumah penganut Kristian oleh kumpulan koir yang diundang. Tuan rumah akan memberi derma kepada kumpulan koir tersebut kerana persembahannya. Pada malam tersebut, mereka bergembira dengan menyanyi dan menari. Kanak-kanak tidak digalakkan mengikut mereka sebaliknya disuruh tidur kerana semasa mereka tidur, mereka percaya Santa Claus akan datang membawa hadiah kepada mereka. Sepertimana perayaan masyarakat lain, pada pagi hari Krismas mereka akan mengunjungi gereja-gereja untuk upacara sembahyang.


     Perayaan Tadau Keamtan merupakan perayaan masyarakat Kadazan di Negeri Sabah pada bulan Mei setiap tahun iaitu sehabis selesai menuai padi. Untuk menyambut perayaan Tadau Kaamatan mereka menyediakan kuih-muih dan air tapai. Perayaan ini kebiasaanya diadakan selama dua malam berturut-turut. Kebiasaannya malam pertama diadakan upacara ‘magavau’ atau pemujaan semangat padi yang diketuai oleh ‘bobohigan’ dan beberapa orang pembantunya. Pada malam kedua, upacara ‘habot’ iaitu beras yang diperam diberikan kepada ‘bobohigan’ sebagai tanda kegembiraan dan kesyukuran. Tetamu akan dihiburkan dengan tarian ‘Sumzau’ dan ‘Megalang’ sambil meminum air tapai.









     Perayaan Gawai Dayak pula disambut oleh masyarakat Dayak di Sarawak pada 1 hb Jun setiap tahun. Kuih-muih tradisional yang diperbuat daripada tepung beras, gula dan santan disediakan. Tuak merupakan sajian utama perayaan Gawai Dayak. Perayaan Gawai Dayak bermula dengan upacara membuang sial oleh Tuai Gawai. Tuai Gawai memulakan upacara ‘miring’ ini diruai (beranda) rumah panjang. Beliau berdoa supaya dipanjangkan umur dan dimurahkan rezeki. Pada 12.00 malam upacara minum air pengayu dilakukan dengan harapan supaya panjang umur, sihat dan makmur. Pada pagi 1hb Jun, tepat 7.00 pagi, tuai rumah dengan diiringi oleh beberapa penghuni rumah panjang menghantar piring persembahan ke tiang pengingat iaitu sejenis kayu yang sering digunakan untuk mendirikan rumah panjang.




     Antara kepentingan perayaan ialah seperti berikut. Semua perayaan ini disambut bersama-sama untuk memastikan berlaku interaksi antara kaum dan hubungan erat akan terjalin. Perayaan di negara ini mempunyai konsep rumah terbuka yakni setiap perayaan akan diadakan majlis melawat rumah orang yang menyambut sesuatu itu. Lawatan yang diadakan sudah pasti akan menyebabkan berlakunya interaksi antara kaum. Oleh itu, perayaan memang mampu meningkatkan interaksi kaum.

   Interaksi yang wujud ketika melawat rumah seseorang itu akan meningkatkan pengetahuan masing-masing akan budaya kaum yang lain. Pemahaman sebegini menjadikan masyarakat lebih faham akan tindakan seseorang daripada kaum yang berbeza dalam sesuatu perkara. Sudah pasti tidak akan timbul sebarang salah faham antara kaum pula. Maka, perayaan mampu meningkatkan kefahaman tentang budaya kaum yang lain.

     Malah, imej negara juga akan turut menjadi lebih baik pada mata masyarakat dunia terutama pelancong asing. Bukan mudah untuk memiliki sebuah sebuah negara yang aman jika rakyatnya berbilang kaum berdasarkan masa masyarakat antarabangsa. Kejayaan Malaysia mengekal keamannya banyak bergantung kepada keupayaan rakyat negara ii menyambut perayaan setiap kaum dengan penuh kegembiraan. Jelaslah, perayaan di negara ini memberikan satu imej yang positif kepada negara dengan begitu mudah.

     Kesimpulannya, sambutan hari perayaan mestilah diamalkan oleh masyarakat di negara ini. Pada masa yang sama sambutan ini hendaklah dijadikan satu perayaan kebangsaan yang dinikmati bersama-sama. Generasi muda akan mendapat banyak manfaat daripada sambutan sebegini. Masyarakat yang harmoni akan wujud menerusi perayaan sebegini pada masa hadapan.






















No comments:

Post a Comment